Srivijaya Bermula di Utara Semenanjung Bukan di Sumatera?

Bookmark and Share



Terdapat begitu banyak salah faham dan kekeliruan tentang sejarah peringkat awal Asia Tenggara. Keadaan ini tidak begitu banyak berubah sepanjang 100 tahun kebelakangan ini. Dalam artikel ini apa yang akan saya cuba bincangkan adalah tentang teori alternative yang pada pendapat saya kurang diketahui oleh masyarakat kita iaitu lokasi Shih-li-fo-shi atau Srivijaya di Chaiya selatan Thailand. Sebenarnya teori ini bukan teori baru, namun demikian oleh kerana teori Coedes dan Slamet Muljana yang amat popular mengatakan Srivijaya berpusat di Palembang maka teori-teori lain terkubur dan terlindung dek bayang-bayang teori aliran perdana ini. Melalui Hipotesis ini kita akan melihat bagaimana sejarawan jepun Takashi Suzuki meletakkan pusat Srivijaya di Chaiya selatan Thailand. Saya sebenarnya setuju bahawa Pusat terawal Srivijaya bukanlah bermula di Palembang kerana masih tidak terdapat bukti kukuh hingga hari ini yang dapat menyatakan dengan jelas bahawa Palembang adalah tempat bermulanya Empayar Maritim Melayu ini.
Setakat ini yang dijumpai adalah prasasti-prasasti yang belum cukup untuk membuktikan teori tersebut. Malahan candi-candi dan kota-kota purba adalah susah sekali untuk dijumpai di Palembang. Namun jika kita ke Semenanjung Tanah Melayu bermula dari Segenting Kera hingga ke Negeri-negeri utara Malaysia banyak ruins atau runtuhan-runtuhan kota dan candi serta tinggalan arkeologi yang boleh kita jumpa terutama di Kedah. Itu belum lagi di Kelantan yang mungkin ada lebih banyak tinggalan kota-kota purba yang hanya tunggu untuk digali. Begitu juga dengan inskripsi Grahi yang dijumpai di Chaiya dan beberapa buah wat yang memang sah mempunyai gaya binaan Srivijaya. Jadi pada pendapat anda kawasan yang mana paling pas untuk menjadi kawasan bermulanya kerajaan Srivijaya yang jaya itu? Adakah di Palembang yang dalam kebanyakan catatan cina dikatakan sebagai sebahagian daripada jajahan Shi Li Fo Shi yang mana agak pelik kerana jika Palembang adalah pusat pemerintahan dan juga Srivijaya mengapa pula dikatakan banhawa Palembang adalah jajahan Srivijaya? Namun walau apa pun keputusannya kita terima dengan minda yang terbuka.
Seperti telahan saya sebelum ini saya memang menjangka bahawa Srivijaya bermula di utara semenjung Tanah Melayu tak kiralah di Kelantan, Pattani atau di Chaiya Thailand. Hal ini adalah kerana Srivijaya adalah penerus bagi kegemilangan kerajaan Melayu Funan! Sudah tentulah elit-elit Funan yang melarikan diri daripada serangan dan penindasan Chenla telah menuju ke negeri-negeri Melayu atau City State Melayu di Semenanjung kerana mereka memang mempunyai hubungan rapat dengan tempat ini dan dipercayai nenek moyang mereka juga pernah berasal dari sini. Samaada di Kelantan atau Chaiya mereka mula membina kekuatan baru dan mengumpul tentera untuk membina sebuah kerajaan yang baru. Akhirnya mereka berjaya menubuhkan Sriwijayamala.
Berbalik kepada kekeliruan sejarawan tentang lokasi pusat Srivijaya yang sebenarnya. Hipotesis Palembang telah dibentangkan oleh G. Coedes dan telah disokong oleh kebanyakan ahli sejarah. Namun demikian seorang ahli sejarah dari jepun Takashi Suzuki merasakan bahawa hipotesis itu tidak rasional dari banyak aspek dan ia dibuktikan dengan beberapa kesilapan ketara. I-Ching dalam “Xin (Baru) Tang-Shu” menulis bahawa Shih-li-fo-shi terletak di hemisfera utara, dalam erti kata lain di Semenanjung Tanah Melayu .Sejarah Asia Tenggara telah diputarbelitkan oleh hipotesis yang salah katanya. Kesilapan yang paling serius ialah ‘Hipotesis Palembang’.
Dr Quaritch Wales dan R.C. Dr. Majumdar adalah diantara sejarawan yang percaya bahawa Sriwijaya bermula di utara Semenanjung Tanah Melayu. Ciri-ciri hipotesis sejarawan jepun Takashi Suzuki kebanyakannya penilaian semula terhadap bukti teks Cina dari sudut pandangan seorang ahli ekonomi dan ahli sejarah ekonomi. Pada masa yang sama, dia cuba untuk menetapkan lokasi negeri-negeri penting yang dicatatkan dalam sejarah Cina. Tanpa pengenalan yang tepat terhadap beberapa negeri-negeri penting, sejarah Asia Tenggara tidak boleh dibincangkan dan dijelaskan. Shih-li-fo-shi di zaman dinasti Tang telah terkenal sebagai Srivijaya. San-fo-chi yang muncul pada tahun 904 di peringkat terakhir Dinasti Tang (618 ~ 907) telah diakui oleh pegawai Tang sebagai Srivijaya. Dan dalam masa Song, ia telah diiktiraf sebagai San-fo-chi, yang menurut Chau-Ju-ka, mula menghantar utusan ke China sejak 904.
Nabil Firdaus